Wakaf dalam Islam.
الْوَقْفِ هُوَ لُغَةً الْحَبْسُ وَيُرَادِفُهُ التَّسْبِيلُ وَالتَّحْبِيسُ وَأَوْقَفَ لُغَةً رَدِيئَةً وَأَحْبَسَ أَفْصَحُ مِنْ حَبَسَ عَلَى مَا نُقِلَ لَكِنْ حَبَسَ هِيَ الْوَارِدَةُ فِي الْأَخْبَارِ الصَّحِيحَةِ ، وَشَرْعًا حَبْسُ مَالٍ يُمْكِنُ الِانْتِفَاعُ بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرِفٍ مُبَاحٍ
PENGERTIAN WAKAF
Wakaf menurut bahasa bererti menahan.
Menurut istilah syarak pula bererti menahan harta benda yang dapat dimanfaatkan serta kekal bendanya (ain) dengan cara memutuskan hak pengelolaan yang dimiliki oleh Pewakaf untuk diserahkan kepada nazhir( penerima Wakaf ) yang dibolehkan oleh syariat.
Dalil atas pensyariatannya iaitu Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 92:
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ
Tidak mencapai oleh sekelian kamu akan kesempurnaan pahala kebajikan sehingga menafkah sekelian kamu akan setengah/sebahagian daripada barang yang sangat kasih kamu akan dia.
Dan dalil hadith iaitu riwayat Muslim dalam sahihnya daripada Abi Hurairah ra:
إذَا مَاتَ الْمُسْلِمُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلَّا مِنْ ثَلَاثٍ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ أَوْ عِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٌ صَالِحٌ أَيْ مُسْلِمٌ يَدْعُو لَهُ
Apabila mati seorang Muslim nescaya terputuslah amalannya melainkan tiga perkara:
1. Sedakah yang mengalir berterusan pahalanya.
2. Ilmu yang di ambil manfaat dengan dia.
3. Anak yang saleh iaitu muslim yang mendoa kebaikan baginya.
Sedekah jariah seperti bahagian pertama daripada hadith Nabi saw ini di Tanggung dengan makna wakaf disisi kebanyakan Ulama termasuk Imam Shafei ra.
Hadith dari Ibni Umar r.a. dia berkata:
عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ قَالَ أَصَابَ عُمَرُ أَرْضًا بِخَيْبَرَ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَأْمِرُهُ فِيهَا فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إنِّي أَصَبْتُ مَالًا بِخَيْبَرَ لَمْ أُصِبْ قَطُّ مَالًا أَنْفَسَ عِنْدِي مِنْهُ ، فَمَا تَأْمُرُنِي فِيهِ قَالَ إنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا ، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا غَيْرَ أَنَّهُ لَا يُبَاعُ أَصْلُهَا وَلَا يُوهَبُ وَلَا يُورَثُ قَالَ فَتَصَدَّقَ بِهَا عُمَرُ فِي الْفُقَرَاءِ وَذَوِي الْقُرْبَى وَالرِّقَابِ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَالضَّيْفِ ، لَا جُنَاحَ عَلَى مَنْ وَلِيَهَا أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ ، أَوْ يُطْعِمَ صَدِيقًا غَيْرَ مُتَمَوِّلٍ فِيهِ - وَفِي لَفْظٍ - غَيْرَ مُتَأَثِّلٍ : مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .
Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Nabi s.a.w untuk minta pandangan tentang tanah itu, maka katanya yang bermaksud:
"Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, di mana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah Azzawajalla) apakah yang hendak engkau perintahkan kepadaku dengannya?"
Maka sabda Rasulullah s.a.w kepadanya yang bermaksud:
"Jika engkau hendak tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya."
Maka Umar pun sedekahkan manfaatnya dengan syarat tanah (maukuf) itu tidak boleh dijualbeli, tidak dihibahkan (beri) dan tidak diwariskan (dipusakai). Tanah itu diwakafkan ke atas fakir miskin, kaum kerabat, memerdekakan hamba sahaya, sabilillah, ibnissabil dan tetamu. Dan tidak ada halangan bagi orang yang menguruskan (yang diberi kuasa menjaganya yakni Nazir) untuk mengambil upah sebahagian darinya dengan cara yang wajar dan mengambil upahnya tanpa menganggap bahawa tanah itu miliknya sendiri.
Meriwayatkan dia oleh Imam Bukhari dan Muslim dalam sahih keduanya.
Tindakan Ulama berkaitan hukum Wakaf:
Imam Al-Qurthuby berkata: Sesungguhnya permasalahan wakaf adalah ijma (sudah disepakati) di antara para sahabat Nabi; yang demikian kerana Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Aisyah, Fathimah, Amr ibn Al-Ash, Ibnu Zubair, dan Jabir, seluruhnya mengamalkan syariat wakaf, dan wakaf-wakaf mereka, baik di Makkah mahupun di Madinah, sudah dikenal masyhur oleh khalayak ramai.
(Rujuk: Tafsir Al-Qurthuby: 6/339, Al-Mustadrah 4/200).
Jabir berkata: Tiada seorangpun dari sahabat Nabi yang memiliki kemampuan dan kelapangan rezeki, kecuali pasti akan mewakafkannya.
(Rujuk: Al-Mughni 8/185, Al-Zarkasyi 4/269).
Imam Tirmidzi menyatakan: Wakaf telah diamalkan oleh para ulama, baik dari kalangan sahabat Nabi mahupun yang lainnya, saya tidak melihat ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mutaqaddimin tentang bolehnya wakaf, baik wakaf tanah mahupun wakaf yang lain.
(Rujuk: Sunan Tirmidzi 5/13 setelah hadits no. 1375).
Kelebihan Wakaf:
Mengharapkan keselesaan dan kebahagiaan hidup di dunia ini perkara yang kuat bermain di fikiran sekelian manusia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Selaku hamba Allah Subhanahu Wata'ala, ia perlu memilih jalan yang telah diatur/susun oleh Allah Subhanahu Wata'ala melalui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi mencapaikan keselesaan dan kebahagian. Oleh itu mengapai kebahagiaan di akhirat kelak antaranya ialah dengan memperbanyakkan amalan sedekah. Sedekah itu ada yang berupa wajib seperti zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya manakala sedekah sunat itu pula ialah seperti wakaf, hadiah, hibah dan sebagainya.
Adapun sedekah dan wakaf itu mempunyai perbezaan dari segi syariat, rukun dan cara pelaksanaannya, akan tetapi tujuan dan maksud di antara keduanya itu adalah sama, ianya adalah sebagai cara kita untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sedekah atau hibah itu ialah memberi sesuatu barang secara mutlak tanpa ada tukaran atau balasan.
Sifat-sifat Wakaf:
Menyebut tentang wakaf maka baginya dua syarat
1. Syarat sahnya bagi pihak Pewakaf
Pewakaf hendaklah orang yang salih, tulus dan memiliki sesuatu yang akan diwakafkannya.
Pewakaf hendaklah orang yang mewakafkan itu mengatakan dengan kata-kata 'mewakafkan' yang jelas dan difahami.
Wakaf itu sah dengan diumumkan atau diserahkan kepada yang berhak menerimanya.
Pembathalan Sesuatu yang telah sah wakaf nya iaitu tertolak sama sekali maka tidak harus atas pewakaf membathalkan wakafnya begitu juga bagi pihak penerima wakaf dengan akad yang sah tidak boleh menjual atau menghibahkannya (menghadiahkan) kepada orang lain.
2. Syarat sah barang yang diwakaf
Barang yang diwakafkan itu hendaklah sempurna sifatnya lagi tidak rosak sesudah dimanfaatkan. Hendaklah benda itu yang tetap, tidak berubah walaupun telah diambil hasilnya seperti rumah, tanah atau pokok yang dapat diambil buahnya, perabot yang boleh dipindahkan, mushaf, kitab dan senjata.
Barangan wakaf yang menerima rosak kerana dimanfaatkan seperti makanan, minuman, minyak wangi, lilin dan sesuatu yang cepat rosak seperti bau-bauan dan tumbuh-tumbuhan aroma yang cepat rosak, maka semuanya itu tidak sah wakafnya. Semuanya itu hanya boleh di sedekahkan sahaja.
Dilarang sama sekali barang yang hendak di wakafkan itu iaitu barang yang diharamkan oleh agama.
Sebaiknya barang yang diwakafkan hendaklah boleh diguna pakai yang faedahnya berpanjangan seperti Al-Quran, buku, kereta jenazah dan sebagainya.
Maka jelaslah kepada kita, apabila wakaf itu sah dengan syarat-syaratnya maka wajiblah nazhir atau pemegang amanah barang wakaf itu melaksanakan segala ketentuan dari pewakaf.
Mudah mudahan semua mendapat kebaikan daripada sifat mulia jiwa pewakaf.
Wallahuaalam.
No comments:
Post a Comment