Wednesday, 17 April 2013

Pengajian kitab Penawar bagi hati.

Fasal yang Kedua pada menyatakan TELINGA

Ketahui olehmu bahawa sa Telinga itu menjadikan dia oleh Allah taala bagi engkau kerana beberapa faedah yang bangsa Dunia dan beberapa faedah yang bangsa Akhirat. Maka setengah daripada segala faedah yang bangsa dunia iaitu bersedap-sedap dengan yang didengar dan menyampaikan ia kepada memahamkan segala perkataan yang didengar.

Dan setengah daripada segala faedahnya yang bangsa akhirat itu iaitu mendengar ia akan al Quran dan Hadis Nabi sallalahu alaihi wassalam dan segala ilmu yang memberi manfaat dan kerana banyak ini segala faedah adalah pendengar itu lebih afdhal daripada penglihat kerana kebanyakan faedah penglihat itu bangsa dunia dan kebanyakkan faedah pendengar itu bangsa akhirat dan kerana itu mendapat engkau akan yang buta lebih sempurna daripada yang tuli.

Dan bermula mensyukurkan pendengar itu iaitu memeliharanya daripada mendengar yang di-larang seperti mengumpat dan mengadu-ngadu dan segala perkataan yang tiada baik seperti bidaah dan berbantah-bantah dan seperti mendengar suara perempuan yang ajnabi dan muda belia jika ditakuti daripadanya akan fitnah dan seperti mendengar perkakas permainan yang di haramkan seperti serunai dan gendang dan jangan engkau tertipu di sebabkan mereka yang menghalalkan akan mendengar umpama serunai itu kerana perkataannya itu menyalahi ia akan quran dan hadis Nabi sallalahu alaihi wassalam, maka lazimkan oleh mu memelihara pendengar engkau daripada perkataan yang keji dan yang sia-sia kerana mereka yang menuntut dengar bersekutu ia dengan mereka yang berkata-kata pada dosa akan perkataan yang haram itu dan lagi pula bahawa sa mendengar perkataan yang sia-sia dan keji itu mendatangkan was was ke dalam hati.

Dan ketahui oleh mu bahawa sanya perkataan yang didengar itu seperti makanan setengahnya memberi manfaat dan setengahnya memberi mudharat dan setengahnya penawar dan setengahnya racun bahkan berkekalan perkataan itu di dalam hati lebih lama daripada berkekalan makanan di dalam perut kerana makanan itu hilang ia di dalam perut besar dengan tidur dan umpamanya dan terkadang berkekalan ia di dalam perut beberapa hari kemudian hilang ia dengan sebab makan pencair ( julab ). Adapun perkataan yang jatuh di dalam hati maka terkadang berkekalan ia di dalam hati seumur hidup maka jika ia perkataan yang jahat maka sentiasa ia memfitnahkan dan mendatangkan was-was bahkan terkadang mensebabkan ia akan kebinasaan yang besar.

 Maka hendaklah bersungguh2 orang yang berakal pada memelihara pendengarnya dan segala anggotanya sebelum di Tanya daripadanya pada hari kiamat.

Telah berfirman Allah taala;

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Ertinya bahawa pendengar dan pelihat dan hati sekelian itu akan di Tanya daripadanya pada hari kiamat.

wallahuaalam

No comments:

Post a Comment